“Abang tengah buat apa?”.......
“Er...Abang tengah dengar lagu,” kataku kepada adik kecil yang tiba-tiba menyapaku sedang aku asyik mengelamun tadi.
“Nak dengar ke?”, tambahku sambil menyuakan senyuman kepadanya.
“Nak!”, lompatnya dan terus sahaja dia duduk di sebelahku. Aku mengambil ‘earphone’ yang tersumbat di telinga kiriku, lalu ku letakkan lembut ke telinga adik kecil yang tersengih-sengih kepadaku itu. Girang sahaja lakunya bila dapat mendengar bunyi yang menggeletek gegendang telinganya itu, sambil dia tertawa-tawa kecil.
“Kuat sangat pulak bunyinya, Ada yang pekak anak orang ni karang”, bisik hatiku, lalu ku perlahankan sedikit paras bunyi ‘walkman’ yang ku pegang. Aku mengikut-mengikut henjutan badannya yang terikut-ikut rentak lagu yang kami dengar, sambil kami masing-masing tersenyum pada suasana aman yang kami nikmati.
Adik kecil yang tak takut dengan diriku. Selalunya budak-budak kecil sebaya dengan umurnya akan lari atau menangis bila sahaja akucuba menegur. Entahlah, mungkin susuk tubuhku yang terlalu besar menakutkan mereka.
Di tengah-tengah kesibukan kenduri kahwin di rumah saudaraku ini, aku dan sahabat kecil yang tak ku kenali ini hanya sekadar duduk di anak tangga rumah. Kami dan dunia kami. Aku dengan masalah-masalahku, angan-anganku yang tak kesampaian dan sahabat kecilku ini yang tak menilaiku dari rupa parasku, mahupun takut untuk menjadi sahabatku. Walaupun untuk seketika.....
-kenangan lama-
-¥in-
No comments:
Post a Comment